馬來西亞

Artikel Kampung Berembang

“Jaga-jaga anak kita Jangan sampai jadi hamba Jaga-jaga anak kita Kita ini orang merdeka”

Anak-anak Kita, M.Nasir.

Petang 31 Ogos, terdetik di mindaku untuk berbasikal di luar laluan kebiasaan iaitu Setiawangsa. Aku mahu cuba ke seberang Ampang. Di waktu pandemik ini, tidak dibenarkan untuk menjelajah lebih jauh. Hanya sekitar berdekatan sahaja. Aku mengambil jalan pintas untuk ke sana, melalui jambatan kecil yang menghubungkan Taman Keramat dan Ampang. Syukur, jambatan ini masih utuh dan wujud walau dibayangi oleh projek mega AKLEH (Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway). Sungai Klang masih mengalir di bawahnya.

Walaupun semakin mengecil, ia menjadi tumpuan kaki pancing untuk mencuba nasib. Aku menyeberangi jambatan usang itu, seperti memasuki ke kisah silam. Kisah waktu kecilku yang suka merayau ke seberang sana. Tanah ini pernah mewarnai hidup kecilku. Mengenal erti kebebasan dan persahabatan. Tetapi kini, warna-warna itu sudah hilang jiwanya. Setelah berpuluh tahun tidak menjejaki tempat ini, cuma yang wujud hanyalah kondominium-kondominium tinggi kaku dan tanah-tanah terbiar kosong. Tiada lagi gelak ketawa anak-anak bermain bola, ibu-ibu suri rumah berceloteh dan orang-orang tua berdongeng di warung kopi. Kampung Berembang hanya tinggal nama. Bukan kisah kecilku yang mahu diceritakan, tetapi kisah dari teman-temanku Kechik, Pak Wan dan Yeoh tentang perlawanan anak-anak Kampung Berembang melalui SENI.

Sejarah Kampung Peneroka dan Dasar Ekonomi Baru

“…saya telah dapat kesempatan melihat keadaan kampung itu dengan lebih dekat… adalah sewajarnya permohonan dari mereka itu mendapat perhatian, kerana semua mereka yang duduk di tanah itu adalah orang-orang Melayu (Bumiputera) yang tidak mempunyai tanah tempat kediaman yang tetap selain dari menumpang kawasan tanah itu.”

YAM Tengku Azman Shah Al-Hajj, Tengku Bendahara Selangor.
(melalui sepucuk surat bertarikh 1 Februari 1973.)

Pada tahun 1940-an, kawasan Dato’ Keramat merupakan kawasan perlombongan bijih timah yang terletak diantara Ulu Kelang dan Ampang. Sebahagian tapak bekas lombong yang sedia ada ini telah ditimbus untuk tujuan penempatan. Pada tahun 1950-an, kampung-kampung peneroka mulai wujud dan berkembang di kawasan itu. Dan salah satunya adalah Kampung Berembang. Kebanyakan yang menghuni kawasan ini adalah penduduk dari luar bandar yang datang berhijrah ke bandar. Lokasinya juga agak strategik kerana berdekatan dengan kawasan bandar Kuala Lumpur. Majoritinya adalah kaum melayu. Terdapat juga kaum cina dan india, tetapi dalam jumlah yang kecil. Aktiviti sosio-ekonomi pada waktu itu lebih kepada pertanian sara-diri seperti menanam sayur-sayuran, ubi, keledek dan sebagainya. Manakala sumber protein diperolehi daripada kegiatan menjala & menangkap ikan di Sungai Kelang yang terletak berhampiran kawasan penempatan. Dasar Ekonomi Baru (DEP) telah diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak (Perdana Menteri ke-2) pada tahun 1970-an. Maka ramai penduduk luar bandar datang berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari peluang ekonomi & pekerjaan baru. Tun Abdul Razak juga membuat polisi baru iaitu dengan membenarkan peneroka dari luar bandar membuka penempatan baru di bandar. Secara tidak langsung, Kampung Berembang mula berkembang menjadi 1,000 keluarga dan banyak kemudahan-kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik telah dibawa masuk. Balai raya dan surau juga telah dibina untuk kemudahan penduduk. Oleh kerana struktur masyarakatnya yang kukuh dan majoritinya adalah kaum melayu, maka ia menjadikan Kampung Berembang sebagai kubu kuat parti politik UMNO bagi Parlimen Ampang. Perluasan penempatan ini juga mendapat sokongan dari Harun Idris (Menteri Besar Selangor) dan juga pihak Istana Selangor pada waktu itu. Selain itu, ahli-ahli politik UMNO juga sering menjanjikan hak milik kekal tanah tersebut semasa mereka mengadakan lawatan ke sana. Masyarakat Kampung Berembang hidup dalam harmoni dan sejahtera.

Dasar Sifar Setinggan Selangor dan kesan pada Kampung Berembang

Novel “The Grapes of Wrath”, karya John Steinbeck menceritakan kisah peladang yang rumahnya dirobohkan secara tidak adil. Beliau buntu dalam mencari siapa yang memberi arahan perobohan itu. Semuanya berkata mereka hanya menerima arahan.

Lalu peladang itu menjerit “Who can we shoot?”

Dibawah pentadbiran Khir Toyo, kerajaan Selangor telah memperkenalkan kempen ‘Sifar Setinggan’ pada tahun 2005. Semua kawasan-kawasan setinggan di Selangor akan dirobohkan untuk tujuan pembangunan. Dasar baru ini memberi kesan kepada penduduk Kampung Berembang, kerana status pemilikan tanahnya pada waktu itu masih samar-samar, iaitu T.O.L (Temporary Occupation Licence). Pada 17 November 2006, jentera jentolak MPAJ mula memasuki kawasan kampung. Penduduk kampung berkeras untuk kekal mempertahankan kampung mereka. Isu ini mulai tersebar dari mulut ke mulut dan mendapat perhatian dari aktivis-aktivis NGO, ahli-ahli politik pembangkang dan orang-ramai tentang perobohan itu. Pada pagi itu, para aktivis dan ahli politik pembangkang mula berkumpul di sana untuk berdemo dan bersolidariti dengan penduduk kampung Berembang. Mak Wan, yang berusia 70an merupakan seorang peneroka asal yang mendiami kampung tersebut sejak tahun 1964. Beliau merupakan penggerak Wanita Umno dan kaum ibu di Kampung Berembang yang telah lama aktif. Beliau merasa kesal dengan tindakan Khir Toyo dan kerajaan Selangor ini, seolah-olah jasa orang-orang kampung yang menyokong parti politik melayu ini tidak dihargai. “Apabila susah begini, batang hidung YB langsung tak nampak”, luahan beliau. Alih-alih yang datang membantu dari parti pembangkang dan aktivis NGO.

Protes & Solidariti

“yang bodoh naik ke atas
yang alim jatuh ke bawah
yang jujur dibuang kerja
yang bodek naik pangkat
yang rasuah jadi Waibi
yang bijak dibuang universiti
inilah angkara yang buat rakyat benci”

Hishamuddin Rais.

Menurut Kechik (Aktivis NGO Kelab Bangsar Utama), maklumat tentang perobohan kampung ini diterima dari rakan aktivis Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT). Pesanan SMS dan emel tersebar sana sini. Para rakan aktivis semua berpakat untuk bersama-sama dengan orang kampung untuk menghalang perobohan itu. Di antara kumpulan NGO yang terlibat adalah JERIT, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Universiti Bangsar Utama (UBU) yang kini dikenali sebagai Kelab Bangsar Utama (KBU), Lostgens dan parti politik pembangkang (Parti Keadilan, DAP dan PAS). Selepas bersarapan di warung terdekat. Kechik dan rakan-rakan lain bergerak ke Kampung Berembang. Aktivis yang bersolidariti terdiri dari pelbagai kaum, bukan aktivis melayu sahaja. Mereka turun berdemonstrasi atas nama perikemanusiaan tidak mengira bangsa atau kaum. Semua bersatu atas nama itu. Pertempuran diantara demonstran dengan pihak berkuasa bermula. Mereka cuba menghalang pihak penguasa terus mara untuk melakukan perobohan. Tangan berpaut diantara satu sama lain membentuk ‘pagar’ manusia, tanda semangat setiakawan dan solidariti. Pasukan polis dan Rela datang meleraikan keadaan. Kekecohan berlaku apabila pihak penguasa mula bertindak keras dan membuat tangkapan para demonstran yang terlibat. Apa yang luar biasa disini, anak-anak Kampung Berembang yang masih kecil juga bermati-matian mempertahankan kampung mereka dari diroboh. Mereka berteriak dan bersama-sama berpegang tangan menghalang pihak penguasa dari terus merobohkan kampung mereka. Setelah dibebaskan pada petang itu, Kechik dan rakan-rakan kembali ke Kampung Berembang untuk melihat apa tindakan pihak penguasa. Tanah yang telah diterokai hasil titik peluh peneroka yang menebas dan membina penempatan ini pada 50 tahun yang lalu telah lenyap begitu sahaja. Para penduduk mula berteduh di surau. Surau 2 tingkat ini adalah satu-satunya tempat perlindungan terakhir sebelum ia dirobohkan kelak. Khemah dan tempat perlindungan sementara mula dibina di kawasan lapang yang terletak berhampiran dengan tapak pencawang TNB. Pada hari hari seterusnya, tangkapan terus dibuat. Tetapi pihak berkuasa agak berhati-hati untuk mengelakkan isu kaum dimainkan oleh akhbar-akhbar bahasa cina & tamil. Mereka hanya menangkap aktivis melayu sahaja.

“Dia (Khir Toyo) apa tahu. Budak baru. Kira nak rampas saja. Gila sangat dengan pembangunan. Kami jadi mangsa Selangor Maju lah ni…Taubat kami nak sokong Umno. Cukuplah ini sebagai sempadan.”

Rintihan penduduk Kampung Berembang.

Pagi 30 November, 4 jentolak mula kelihatan di hadapan surau. 60 penduduk kampung dan aktivis berdiri teguh di hadapan demi mempertahankan surau. Aktivis S Arutchelvan (PSM) ingin berunding secara baik dan aman, tetapi tidak dipedulikan oleh pihak penguasa, jentolak terus bergerak dan mencabut pokok di hadapan surau tersebut. Pihak penguasa mula memotong pagar surau dan mengalihkan kenderaan-kenderaan di hadapan surau ke tempat lain. Kenderaan-kenderaan itu dijadikan sebagai ‘pagar’ bagi menghalang jentolak memusnahkan surau. Ini adalah inisiatif penduduk kampung dan orang ramai yang bersolidariti. Orang kampung dan aktivis mula mempertahankan surau, Mak Wan mengunci pintu pagar utama dengan kunci mangga. Kemudian, beliau menyuruh anaknya mengikat tangan beliau di tiang surau. Satu tindakan protes berani dari seorang ibu demi mempertahankan suraunya. Suasana menjadi tegang apabila pihak penguasa mula bertindak agresif menyerbu & memukul mereka. Yeoh Lian Heng (Lostgens) menceritakan, pada kejadian itu beliau bersama-sama anak-anak Kampung Berembang berada di surau tingkat atas. Yeoh menjaga keselamatan anak-anak Kampung Berembang dengan membawa mereka ke tingkat atas. Kerana di perkarangan surau sedang berlaku ketegangan & kemungkinan berlaku kekecohan. Apabila halangan pagar surau berjaya dipatahkan, segerombolan pihak penguasa menyerbu ke tingkat atas surau lalu memukul dan menarik Yeoh keluar. Anak anak Kampung Berembang cuba menghalang Yeoh dari dipukul oleh pihak penguasa. Mereka melempar selipar mereka ke arah pihak penguasa, tetapi dihalang dan ditampar oleh penguasa wanita. Aksi berani anak-anak Kampung Berembang yang tidak dapat dilupakan oleh Yeoh di dalam hidupnya.

“Pada mulanya saya berasa takut, tetapi saya tidak tahu mengapa timbul perasaan berani untuk menghalang pegawai itu. Mungkin saya terlalu sayangkan surau itu”.

Aida Suhaida, 15 tahun.

Seramai 11 orang ditahan, iaitu 9 aktivis dan 2 orang kampung. Mereka di bawa ke Balai Polis Ampang Jaya dan Ulu Kelang. Menjelang tengahari, surau yang menjadi tempat perlindungan terakhir itu rebah ke bumi. Jeritan dan tangisan penduduk kampung mengiringi perobohan surau itu. Keadaan kampung pada waktu itu seperti di medan perang. Runtuhan rumah di sana-sini. Semuanya rata dan berkecai. Para penduduk berpindah ke tempat perlindungan sementara di bawah pencawang TNB setelah surau dirobohkan. Khemah dan tempat perlindungan semakin banyak dibina dengan menggunakan kayu-kayu dan batu-batu dari tapak robohan rumah mereka. Penduduk kampung, aktivis dan orang ramai turut bergotong-royong membina semula penempatan sementara mereka. Susunan khemah dan penempatan sementara diatur dan dirancang dengan baik walaupun serba kekurangan. Kemudahan asas seperti tempat mandi dan tandas juga dibina. Generator elektrik juga digunakan untuk menerangi waktu malam. Bantuan keperluan asas seperti beras, bahan makanan, pakaian dan lain-lain mula disalurkan. Penempatan sementara ini meriah dengan acara gotong-royong dan memasak bersama-sama. Sekurang-kurangnya ia menghilangkan kesedihan dan trauma yang dialami oleh pendudk kampung. Melihat betapa cekal dan kuatnya penduduk Kampung Berembang mempertahankan tanahnya, pihak penguasa cuba pula mahu merobohkan penempatan sementara. Alasan yang digunakan adalah bahaya mendirikan khemah di bawah pencawang elektrik. Tetapi tujuan sebenarnya ingin memecah-belahkan semangat persaudaraan orang kampung itu. Agar mereka dipisah-pisahkan menjadi kecil. Walaupun perobohan dibuat berkali-kali, penempatan sementara itu tetap dibina semula. Betapa cekalnya penduduk kampung itu mahu mempertahankan tanah mereka. Strategi ini akhirnya gagal dan pihak penguasa dihalau keluar dari kawasan tersebut. Ada juga percubaan mengupah samseng, tetapi tetap gagal juga.

Seni dan Perlawanan

“Pada mulanya ke sana untuk melawan (demonstrasi) mempertahankan Kg. Berembang, tetapi menggunakan method lain untuk menangani isu ini. Mula mengkaji semula garis isu, hak penduduk dan jalan penyelesaian terbaik untuk mereka. Penyusunan semula harus dibuat dan strategi akan dirancang untuk menghadapi hari-hari mendatang”, jelas Pak Wan (Aktivis NGO Kelab Bangsar Utama). Sambil merenung melihat tapak perobohan itu, tergerak dihati beliau untuk melakukan sesuatu pada anak-anak Kampung Berembang ini. Anak-anak ini telah melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana rumah mereka diranap oleh jentolak penguasa MPAJ. Tidak dapat dibayangkan apa perasaan mereka pada waktu itu. TRAUMA. Yeoh mencadangkan trauma itu dirawat melalui seni, sebagai terapi. Beliau mula menjemput seniman-seniman lain untuk turut turun padang membantu merawat trauma anak-anak Kampung Berembang melalui aktiviti seni. Selain terapi, aktiviti ini juga dapat merapatkan lagi hubungan sesama mereka agar kuat & tabah bersama menghadapi kezaliman.

“Pada waktu paginya, anak-anak ini masih pergi ke sekolah seperti biasa, tetapi apabila mereka pulang dari sekolah, dengan masih uniform sekolah, mereka melihat rumah mereka sudah dirobohkan”.

Yeoh, Lostgens

Para aktivis mula berfikir bagaimana untuk memberitahu orang ramai tentang tragedi Kampung Berembang. Kerana pada waktu itu, penggunaan internet tidaklah meluas seperti sekarang. Tiba[1]tiba idea membuat “Teater Wayang Kadbod” timbul setelah melihat anak-anak berdiri di atas tapak perobohan tersebut. Melalui itu, mereka cuba terjemahkan apa yang berlaku di Kg. Berembang melalui bentuk visual (Wayang Kadbod dan lukisan). Dan persembahan visual anak-anak itu dibawa kepada umum melalui jelajah di beberapa tempat. Dan kesannya, ia akan membuka mata orang ramai tentang isu ini. Ia juga pencetus inspirasi pada kampung-kampung peneroka lain untuk mempertahankan tanah mereka. Yeoh, Pak Wan, Kechik dan aktivis-aktivis seni lain mula mendekati anak-anak Kampung Berembang itu. Mereka cuba memahami karekter dan potensi anak-anak tersebut. Aktivis Lostgens membuat bengkel seni untuk anak-anak Kampung Berembang berekspresi melalui seni. Meluahkan emosi dan pengalaman mereka melalui lukisan. Yeoh mengajar mereka dengan melukis subjek rumah yang ideal. Dan dengan perlahan-lahan memasukkan pengalaman & ekpresi mereka apabila terhadap rumah ideal itu apabila ia dirampas atau dimusnahkan. Dan akhirnya, dengan usahasama lukisan anak-anak tersebut, wayang kadbod telah terhasil. Persembahan “Wayang Kadbod – Tragedi Kg. Berembang” telah menarik perhatian komuniti lain. Mereka menjemput anak-anak Kampung Berembang ini membuat persembahan di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang. Walaupun mendapat ugutan agar persembahan dibatalkan di Pulau Pinang, anak-anak Kampung Berembang ini tetap cekal untuk meneruskan persembahan. Menurut Yeoh, keputusan untuk meneruskan persembahan ini adalah diatas kehendak mereka sendiri, bukan kehendak Yeoh. Tugas beliau cuma koordinator dan menguruskan persembahan mereka sahaja. Ini menunjukkan, anak-anak Kampung Berembang ini juga punya hak untuk bersuara dan berani membuat keputusan mereka sendiri. Persembahan boleh diteruskan dengan syarat ibubapa atau penjaga mereka mesti ada bersama.

Kesan dan makna penting dari tragedi ini

“Salah satu perkara yang kita terlepas pandang, banyak kampung peneroka dirobohkan kerana kita ‘terpisah’ di antara satu sama lain. Sedangkan kampung itu sendiri itu pun juga telah dipisah-pisahkan. Maka tiada ikatan yang kuat sesama kita dengan warga kampung,”.

Kechik

Dengan tersebarnya maklumat tentang perobohan Kampung Berembang ini, ia menjadi ‘spark’ atau pencetus kepada kampung[1]kampung peneroka lain untuk melawan. Di Kuala Lumpur dan Selangor ini sebenarnya terdapat banyak kampung-kampung peneroka yang telah atau bakal diroboh. Penduduk kampung mula berani bersuara tentang hak tanah mereka. Diantaranya perobohan Kampung Railway (2013) dan Kampung Chubadak (2014). Kedua[1]dua kampung tersebut merupakan kampung peneroka yang sudah lama didiami di Kuala Lumpur. Mana YB kita? Persoalan yang timbul dihati penduduk ketika kampung dilanda musibah. Apa yang mengejutkan penduduk Kampung Berembang, para aktivis pula yang datang untuk menolong dan bersolidariti bersama mereka. Aktivis-aktivis ini terdiri dari pelbagai kaum dan ideologi. Aktivis JERIT, PSM, Lostgens, UBU dan individu lain turun ke padang bersama-sama dengan orang kampung berjuang mempertahankan tanah Kampung Berembang. Ahli-ahli politik dari parti pembangkang juga datang bersolidariti bersama. Di sini kita dapat lihat, isu yang diangkat adalah isu kemanusiaan, bukan isu kaum yang sering digunakan oleh pihak-pihak tertentu. Dari sisi lain, kita dapat melihat semangat muhibbah dengan aktiviti bergotong-royong dan memasak makanan bersama-sama. Ini memadamkan persepsi negatif orang kampung terhadap para aktivis yang pada luarannya kelihatan seperti ‘outsider’ dan pelik. Para aktivis yang dianggap ‘outsider’ ini bersama-sama merawat anak-anak Kampung Berembang yang sedang trauma melalui seni. Seni dijadikan sebagai medium terapi. Selain itu, ia juga dijadikan medium sebaran atau propaganda. Pada waktu itu, penggunaan media-sosial masih belum meluas seperti sekarang. Waktu itu, pesanan ringkas seperti SMS dan MMS adalah medium utama selain kiriman emel melalui internet. Anak-anak Kampung Berembang ini menggunakan Teater Wayang Kadbod sebagai medium untuk menyebarkan kisah tragedi yang berlaku di tempat mereka. Ekspresi dan emosi mereka yang diluahkan dalam bentuk lukisan juga dipamerkan untuk tatapan orang ramai. Kini anak[1]anak Kampung Berembang sudah membesar dan dewasa. Dan ada yang menjawat jawatan pegawai polis & majlis perbandaran. Mereka berpegang janji, “tidak akan merobohkan rumah orang lain.” Pengalaman tragedi itu mengajar mereka tentang erti kemanusiaan. Dan pengalaman membawa persembahan seni Teater Wayang Kadbod mereka ke mata umum merupakan kenangan manis buat mereka. Segala luahan mereka didengari dan dilihat oleh orang ramai melalui seni. Ternyata, seni bukan hanya medium terapi, tetapi ia juga medium perlawanan. Pada Disember 2006, Kampung Berembang menjadi tuan rumah untuk Hari Hak Asasi Manusia (Human Rights Day). Pada tahun 2008, Kerajaan Barisan Nasional dikejutkan dengan kekalahan kerajaan UMNO/BN Selangor di tangan Pembangkang. Ramai yang menjangkakan Kerajaan pimpinan Khir Toyo akan jatuh di pihak pembangkang pada Pilihanraya Umum Malaysia (PRU12) itu . Polisi baru Khir Toyo, iaitu ‘Sifar Setinggan’ adalah salah satu punca kejatuhan Kerajaan UMNO/BN Selangor pada waktu itu. Ini membuktikan, rakyat juga mempunyai kuasa untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan yang zalim dan tidak adil melalui undi. Gara[1]gara mengejar pembangunan, tanah rakyat yang tergadai. Proses mendapatkan hak milik tanah Kampung Berembang mengambil masa 2 tahun. Proses pengadilan dan khidmat guaman diuruskan oleh ADUN DAP Klang, JERIT dan PSM. Mereka bersama-sama dengan orang kampung mengadakan perbincangan dengan pemaju, Perspektif Masa Sdn. Bhd. yang akan membangunkan kawasan tanah tersebut. Syarat-syarat yang diberikan oleh pihak pemaju tidak setimpal dengan nilai tanah yang orang kampung diterokai. Pemaju menawarkan lokasi rumah yang jauh dari tempat asal. Kerana kebanyakan penduduk kampung ini sudah berpuluh tahun menetap di sini dan sumber ekonomi mereka juga berada di sini. Ada juga anak-anak mereka yang sedang mengambil peperiksaan SPM pada tahun tersebut. Bantahan dibuat oleh orang kampung dan proses pengadilan dijalankan. Pada Disember 2007, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan pemaju untuk mendapatkan pemilikan kekal kawasan kampung itu. Ini merupakan kemenangan pertama buat penduduk Kampung Berembang yang telah berjuang dan menghadapi pelbagai kesulitan untuk mendapatkan hak mereka. Pada Februari 2009, Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim mengotakan janji akan memindahkan penduduk Kampung Berembang ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Berembang Indah yang terletak berhampiran apabila projek PPR itu siap kelak. Pada tahun 2012, hasil usaha dan perjuangan mereka mendapatkan hak membuah hasil. Perasaan gembira dan sebak terpapar di wajah lebih 640 penduduk kampung apabila mereka menerima kunci kediaman pangsapuri baru mereka daripada Kerajaan Selangor. Dan orang yang paling gembira pada waktu itu adalah Mak Wan, yang sudah berusia 80 tahun ketika itu. Aku beredar setelah waktu hampir senja. Memandang ke belakang, kawasan yang pernah menjadi pertempuran di antara dua kelas. Walaupun aku tidak berada di situ ketika peristiwa itu, aku boleh membayangkan bagaimana Kechik, Pak Wan, Yeoh dan aktivis[1]aktivis lain yang berbeza-beza ideologi bersatu hati memperjuangkan hak orang Kampung Berembang. Berjuang diatas satu prinsip, iaitu KEMANUSIAAN.

Rujukan

Singkatan kata:

MPAJ: Majlis Perbandaran Ampang Jaya
TNB: Tenaga Nasional Berhad
NGO: Non-Governmental Organization
UBU: Universiti Bangsar Utama
JERIT: Jaringan Rakyat Tertindas
PSM: Parti Sosialis Malaysia
DAP: Democratic Action Party
PAS: Parti Islam Se-Malaysia (Malaysian Islamic Party)
SPM: Sijil Pelajaran Tinggi

Sejarah Kampung Berembang
studentsrepo.um.edu.my/560/4/BAB3.pdf

Laporan & berita tentang perobohan:
www.malaysiakini.com/news/60314
www.malaysiakini.com/news/59963
www.malaysiakini.com/letters/60479
www.malaysiakini.com/news/60495
dppwp.wordpress.com/2007/03/19/tragedi-kg-berembang-bukti-umno-taktolong-melayu/
ummuasiah2001.blogspot.com/2008/12/nasib-yang-berbezakampungberembang.html
www.youtube.com/watch?v=PVkP6EC7oBg
www.youtube.com/watch?v=OY5L6VcAREs

Pilihanraya Umum 2008:
www.malaysiakini.com/news/78498

Teater Wayang Kadbod:
lostgens.org/kampung-berembang-project-kampung-seni-2006/
www.malaysiakini.com/news/60699
www.youtube.com/watch?v=fmHqo3OjWQA

Kronologi proses pengadilan:
www.malaysiakini.com/news/67624
www.malaysiakini.com/news/74708
www.malaysiakini.com/news/76055
selangorkini.my/2012/07/setelah-48-tahun-penduduk-kampung-berembangakhirnya-dapat-rumah-baru/

Laporan & berita tentang perobohan kampung lain di Kuala Lumpur:
www.malaymail.com/news/malaysia/2013/12/27/end-of-the-line-for-kampung-railway/588169
www.malaysiakini.com/news/279864
www.malaysiakini.com/news/60024

Wawancara tentang Pemberdayaan / Aktivisme Komuniti melalui Seni &
Budaya melalui medium “Zoom-Meeting” pada 5 Ogos 2021.
Panelis: Pak Wan & Kechik (Kelab Bangsar Utama) dan Yeoh Lian Heng (Lostgens)

Anak-Anak Kita, M.Nasir
www.youtube.com/watch?v=Q7QwTewRNaI