19 NOVEMBER 2016
Himpunan BERSIH 5
Pertikaian skandal 1MDB berlanjutan, BERSIH menyeru agar rakyat berhimpun untuk menyatakan protes.
Pada 18 November 2016, iaitu sehari sebelum himpunan BERSIH 5 diadakan, polis telah menahan pemimpin BERSIH, iaitu Maria Chin Abdullah dan Mandeep Singh. Malah, Maria telah didakwa kemudiannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA ). Menurut polis, langkah ini diambil untuk mencegah huru-hara dan mengelakkan situasi di mana ketenteraman awam tergugat. Setiausaha Agung PSM, Arutchelvan turut ditahan di Kuala Lumpur; malah beberapa jam sebelum bermulanya himpunan, pihak polis menahan salah seorang pemimpin BERSIH, iaitu Hishamuddin Rais. BERSIH mengecam polis kerana menyalahgunakan kuasa.
Pada 19 November 2016, Himpunan BERSIH 5 berlangsung sebagaimana yang dirancang. Suasana himpunan memuncak apabila bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang telah keluar dari UMNO tampil berucap di tapak yang berdekatan dengan Menara Kembar KLCC. Himpunan bersurai secara aman tanpa penembakan gas pemedih mata dan meriam air. Kira-kira 40 ribu orang peserta menghadiri himpunan tersebut.